Pengurusan Perubahan Pendidikan: Pelaksanaan Kurikulum Sains Sekolah Rendah

Zakiah Mor


ABSTRAK

Kajian ini pada umumya adalah bertujuan untuk mengkaji keberkesanan pelaksanaan Kurikulum Sains Sekolah Rendah (KSSR) yang telah diperkenalkan bagi menggantikan kurikulum Alam dan Manusia pada sesi persekolahan 1994/1995 yang lalu. Kajian berbentuk deskriptif eksploratori ini telah menentukan tahap keberkesanan program latihan KSSR yang diterima oleh guru sains, tahap pengurusan perubahan KSSR yang dijalankan oleh guru besar, sikap, prestasi dan penerimaan guru besar dan guru sains terhadap KSSR dan masalah-masalah yang dihadapi dalam melaksanakan KSSR. Selain dari itu kajian juga telah menentukan korelasi antara program latihan KSSR dan pengurusan perubahan KSSR dengan sikap, penerimaan dan prestasi guru-guru dalam KSSR. Sampel kajian adalah seorang guru besar dan dua orang guru sains di 97 buah sekolah yang dipilih secara rawak dari 134 buah sekolah di Seberang Perai. Kajian rintis telah dijalankan ke atas soal selidik yang dibina dan didapati kebolehpercayaan ke atas soal selidik untuk guru besar dan guru sains adalah tinggi. Soal selidik untuk guru besar mempunyai enam bahagian iaitu bahagian latar belakang, pengurusan perubahan KSSR, sikap terhadap KSSR, penerimaan terhadap KSSR dan prestasi dalam KSSR. Manakala soal selidik untuk guru sains mempunyai lebih satu bahagian iaitu program latihan KSSR. Semua data yang diperolehi dianalisa menggunakan statistik deskriptif dan pengujian hipotesia dibuat menggunakan statistik inferensi iaitu ujian korelasi. Kajian ini telah mendapati program latihan KSSR dan pengurusan perubahan KSSR berada pada tahap ‘memuaskan’. Sikap, penerimaan dan prestasi guru-guru dalam KSSR juga pada keseluruhannya berada pada tahap ‘memuaskan’. Bagaimanapun masih terdapat peratusan kecil guru-guru sains yang belum menerima KSSR sepenuhnya dan menunjukkan sikap dan prestasi yang ‘tidak memuaskan’. Kajian juga mendapati program latihan dan pengurusan perubahan KSSR mempunyai hubungan yang sangat signifikan dengan sikap, penerimaan dan prestasi guru dalam KSSR. Ujian korelasi ke atas sampel guru besar pula mendapati pengurusan perubahan KSSR yang dijalankan oleh guru besar adalah dipengaruhi oleh sikap , penerimaan dan prestasi mereka dalam KSSR. Prestasi guru besar dalam KSSR memberikan pengaruh yang lebih tinggi berbanding dengan sikap dan penerimaan mereka dalam KSSR. Kajian berjaya mengenalpasti 10 punca masalah pelaksanaan KSSR. Bagaimanapun dengan nilai peratusan yang kecil bagi setiap punca masalah yang dikemukakan itu pengkaji berpendapat masalah tersebut adalah tidak serius. Berdasarkan dapatan-dapatan yang diperolehi daripada kajian ini maka boleh dibuat kesimpulan bahawa KSSR telah hampir berjaya dilaksanakan dan hampir mencapai tahap yang diharapkan.

 

E-mail komen dan cadangan anda
(Webmaster: Ahmad Basri Hashim - Unit Teknologi Maklumat, MPTB)
© MPTB 2001